Pages

Jumaat, 30 November 2012

Cara Menulis Pendahuluan Karangan dengan Menggunakan Teknik FACLK


Cara Menulis Pendahuluan Karangan dengan Menggunakan Teknik FACLK


Teknik FACLK (Fokus, Akibat, Contoh, Langkah, Kepentingannya)

Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk kepada fokus penyataan (F) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L) dan ayat kelima ialah kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Kemudian, masukkan peribahasa atau gunakan ungkapan menarik, yang dirasakan sesuai dalam mana-mana ayat pendahuluan itu tadi. Jika murid-murid dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang menarik dan mantap serta menepati kehendak skema pemeriksa.

Soalan Contoh 1

Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

Perenggan Pendahuluan Contoh 1

Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. (L) Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit. (K)

Soalan Contoh 2

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

Perenggan Pendahuluan Contoh 2

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita yang perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. (F) Bangunan tersebut boleh dijadikan fakta sejarah yang menarik pelancong asing ke negara kita. (A) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. (C) Jadi, kerajaan kedua-dua buah negeri tersebut perlulah mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tersebut jika tidak mahu perisyhtiharan itu ditarik balik. (L) Oleh itu, langkah yang diambil oleh UNESCO itu perlu disokong kerana hal ini pasti meningkatkan imej negara. (K)

Murid-murid harus menyedari bahawa perenggan pendahuluan sama pentingnya dengan perenggan isi dan perenggan penutup. Perenggan pendahuluan juga akan memberikan gambaran atau impression awal tentang keseluruhan karangan murid-murid. Oleh hal yang demikian, cubalah berlatih untuk menulis pendahuluan karangan dengan menggunakan teknik ini. Sebenarnya, banyak cara lagi untuk menulis pendahuluan karangan dan cikgu mendatangkan satu lagi teknik tambahan kepada murid-murid. Jadi, murid-murid mempunyai banyak cara yang boleh dipilih untuk menulis perenggan pendahuluan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan